Saat
sosok pujaan pergi dari tepian hati, menuju pelaminan bersanding dengan
lelaki lain. Adalah sebuah kewajaran jikalau kesedihan itu kau alami.
Terlebih ketika cincin putih itu telah melingkar di manisnya jemari,
beberapa lama waktunya. Dan ternyata dia kembalikan bersama selembar
undangan, pernikahan.
Aku
tak bermaksud mengecilkan arti cinta yang tertanam dan pengorbanan yang
telah kau lakukan selama ini. Tapi ketahuilah, bahwa hak Allah untuk
menimpakan apa pun pada kita. Hak Allah untuk melakukan apa pun pada
kita. Dan yang terbaik menurut kita, bukan berarti yang terbaik menurut
Allah. Yakinkan itu dan ikhlaskanlah.
Itulah
sebabnya mengapa kita janganlah terlalu berlebihan dalam mencintai
mahluk begitu pun sebaliknya, kita jangan pula terlalu berlebihan dalam
membencinya. Sahabat, aku pun sedang belajar melakukannya. Dan itu
tidaklah mudah. Ayo kita sama-sama mempelajarinya dan saling menasihati
di dalamnya!
Sahabat,
kutepuk pundakmu kembali. Ayo bangkit dan tersenyumlah. Lihatlah betapa
masa depan suram ketika kita bermuram. Dan alangkah indahnya alam ini
ketika kita tak kunjung menyerah. Tataplah, sahabat-sahabatmu tak
mengharapkan keterpurukan. Sahabatmu merindukan kau kembali, menjadi
jiwa dengan semangat membaja. Lalu kita kembali menggulung gelombang tuk
pecahkan karang tiada bosan. Karena kita adalah kekuatan harapan.
Terima Kasih. By:
Kehilangan
saudara tersayang, kematian insan akrab, kesakitan yang memedihkan,
kemiskinan yang lara, kegagalan yang melunturkan, kepahitan hidup yang
kelat, kekalahan yang menyebakan, kesedihan yang menyakitkan,
persengketaan yang tiada kesudahan, permasalahan yang berulang dan
segala bentuk musibah yang lain.
Bebanan hidup yang memberatkan dan kesesakan hidup yang memeningkan.
“ Ya Allah, beratnya ujianmu ini. Kenapa aku diuji sebegini ?” Luahan hati kita saat itu.
Semua itu adalah sesuatu yang memeritkan dan terasa akan kepedihannya
sehingga ke ulu hati yang dalam. Pernahkah anda merasai semua ini ?
Kelihatan anda terdiam seketika, berhenti merenungi sehingga ke hujung
nokhtah.
“ .. Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu ..”
[ Ath Thalaq 65 : 3 ]
Diuji dengan ujian kehidupan yang berat sehingga hilang separuh
kawalan kesabaran. Musibah yang datang bagaikan tiada titik hentinya.
Selepas satu, hadir satu lagi ujian. Bak kata orang, ia datang
bertimpa-timpa. Benar-benar teruji dengan segala bentuk kesabaran dan
ketabahan tergoncang seketika.
Pernahkah anda mengalaminya? – Saya yakin, kita semua pernah. Ada yang mengangguk tanda setuju.
Inilah warna warni kehidupan. Ada hitam dan putih. Ada saat sedih dan ada ketika gembira. Suka dan dukanya.
Saya masih ingat, ketika saat-saat melanjutkan pelajaran ke Kuala
Lumpur pada pertengahan tahun 2005. Dalam proses menyesuaikan diri
dengan suasana pembelajaran, kehidupan dan alam yang baru – saya
dirundung dengan tekanan yang bersangatan. Entah mengapa, saya
benar-benar bingung.
“ Suasana pelajaran yang menekan”
“ Perhubungan dengan kenalan-kenalan baru”
“ Kekok dengan alam kampus yang mulai mewarnai corak kehidupan”
“ Dan, pelbagai masalah yang silih bergantian.”
Antara perkara yang menyebabkan saya benar-benar down
ketika itu ialah prestasi akademi saya jatuh mendadak. Setiap hari
dipenuhi dengan suasana kejar-mengejar ke kelas antara dua fakulti. (
Saya belajar di dua buah fakulti yang berbeza di mana jaraknya jauh
antara satu dengan yang lain. Jika berjalan kaki memakan masa 20 minit).
Kepenatan, kelelahan, kejemuan dan keputus asaan mulai menyelubungi
kehidupan seharian saya. Perkara ini berlarutan untuk tempoh yang agak
lama, dan saat itu jiwa dan hati saya mulai kekosongan dan terasa
benar-benar hambar, kaku dan gersang.
“ Ana rasa penat sangat dengan kehidupan kampus ini, terasa macam ingin berhenti belajar,” Luah hati saya kepada seorang sahabat.
“ Kenapa? Anta ada masalah ke?,” Tanya sahabat saya.
“ Entah la, ana rasa lain sangat sekarang ini. Jiwa kosong dan hati semacam sudah mati. Sebenarnya, ana sedih dengan diri ana,” Kata saya dengan suara yang tersekat-sekat.
“ Sahabat, anta perlu kuat. Jangan bersedih, selalulah mengingati
Allah SWT. Kehidupan alam baru ini mungkin sangat baru bagi anta.
Tetapi yakinlah inilah kehidupan,” Nasihatnya dengan penuh kesyahduan.
Dialog saya dengan seorang sahabat itu sedikit sebanyak melegakan
hati saya. Namun, saya masih resah, gelisah dan gundah gulana. Saya
bergegas ke surau kolej, mengambil wudhuk dan mendirikan solat sunat dua
rakaat. Dalam solat itu, saya memaksa diri untuk menyerahkan diri
sepenuhnya kepada Ilahi.
“ Ya Allah, berikanlah aku kekhusyukan. Tenangkan dan kuatkanlah jiwaku,” Rintihan nurani saya dilafazkan.
Malam itu saya bersendirian dan keseorangan. Tiada siapa di sisi.
Ketika ini, terasa benar-benar kesunyian dan kesepian. Saya mengambil
Al-Quran di rak. Lalu saya menatap mushaf Al-Quran.
“ Sudah lama aku tidak membaca Al-Quran,” Bisik hati kecil
saya. Saya tertunduk penuh sambil memejam mata. Air mata tertahan. Saya
ingin menangis, tetapi ia terkawal – kelopak mata saya bergenang dengan
air yang sejuk.
“ Allah Allah Allah Allah Allah Allah Allah” Terbit dibibir
saya satu per satu. Saya sebak. Telah lama hati ini jauh daripadanya.
Saya dihanyutkan dengan kelalaian dan kealpaan yang menjarakan antara
saya dengan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Semua yang ada di Langit dan dibumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu Dia berada dalam aktivitinya.”
[ Ar-Rahman 55 : 29]
Ya Allah, usirkanlah kegelisahan yang mengusik jiwa dan nuraniku ini.
Gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan dan hilangkanlah perasaan
takut ini dengan ketenteraman.
Ya Ilahi, sejukanlah gelora hati ini dengan salju keyakinan dan padamkanlah gelojak api jiwa dengan api keimanan.
Malam itu sungguh luar biasa. Saya terasa akan ketenangan dan
kesejukan perasaan yang menghembus lembut di hati saya. MasyaAllah.
Malam itu, saya keluar daripada surau menuju ke bilik dengan suatu
suntikan baru. Ada sesuatu yang menguatkan. Dan saya sedar :
“ Ia adalah suatu didikan, asuhan dan tarbiyah daripada Allah SWT. Dia sedang menegur saya.”
Suatu ketentuannya
Keesokannya, saya mengajak seorang sahabat saya pergi ke Kedai buku.
Itu telah menjadi kebiasaan saya kerana setiap sebulan sekali – saya
akan ke sana. Saya mencari ketenangan juga dengan dikelilingi dengan
buku-buku, kitab-kitab dan timbunan majalah ilmiah yang berkualiti.
Saya membelek-belek, meninjau-ninjau dan menelaah pelbagai buku.
Dengan izin Allah SWT, saya terpandang sebuah buku yang berwarna kuning.
Tajuknya menarik minat saya.
Buku La Tahzan, terjemahan Bahasa Melayu : Janganlah bersedih. Terbitan Al-Hidayah Publishers
“ Jangan bersedih – Setelah kesulitan pasti ada kemudahan.”
Saya memandangnya dengan jiwa yang teruja. Saya tidak pernah merasai
perasaan sebegini. Jiwa saya bagaikan terhembus dengan angin-angin sepoi
yang mendamaikan apabila membaca kata pengantar penulis berkaitan buku
ini :
“ Hiduplah dengan kehidupan sebagaimana hidupnya
kehidupan itu sendiri, dengan kebahagiaan dan kerelaan yang membuat anda
selalu hidup gembira.”
Kolam hati saya terasa tenang, dan gelora airnya mulai hilang dengan
sendiri. “ Bagusnya buku ini, siapa penulisnya?,” Getus hati saya. Saya
melihat kulit hadapan semula.
“ Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni”
Saya pernah lihat buku dan nama penulis ini. Seingat saya, setahun
sebelum itu semasa belajar di Nilam Puri. Buku milik kawan saya, tetapi
saat itu saya tiada perasaan dan tertarik terhadapnya. Mungkin inilah
saatnya untuk saya membeli buku ini. Tanpa berfikir panjang saya terus
ke kaunter dan membayar untuk membeli buku ini. Selepas membayarnya,
saya tersenyum senang.
La Tahzan – Inspirasiku
“….. Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah selalu bersama kita…”
[ At-Taubah 9 : 40]
Pulang ke asrama kolej, saya terus mengambil ruang untuk membacanya.
Helaian demi helaian saya tatap. Sungguh, buku ini membuatkan saya
terpegun.
Saya benar-benar asyik bersiar-siar di taman buku ini. Bunga-bunga
intipatinya subur mekar di sanubari saya. Penulisannya kemas, indah dan
sangat-sangat mengesani hati saya. Tanpa sedar, ia sedang merawat
kedukaan dan kekecewaan yang saya alami selama ini.
“….. nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati…”
[ Al-Baqarah 3 : 38 ]
Saya meneruskan bacaan dengan penuh minat, khusyuk dan asyik. Untaian
madahnya sangat-sangat pekat dan melekat di jiwa saya. Sungguh,
penulisan sangat-sangat hidup, membangkitkan dan memotivasikan.
“ Kesedihan itu hanya akan memadamkan api motivasi, membunuh roh semangat dan membekukan jiwa.”
“ Kesedihan adalah merupakan sahabat akrab kecemasan.”
“ Janganlah bersedih! Kerana di sana banyak jalan meringakan musibah.”
Saya terpaku lama membaca setiap perkataan demi perkataan. Ayat demi
ayat. Menyemak dengan penuh teliti setiap halaman demi halaman. Ya, saya
puas. Buku ini memberikan satu inspirasi baru kepada saya. Syukran ya
Allah, kerana memberikan hamba-Mu ketentuan dengan penemuan buku ini.
Buku yang berjumlah 612 muka surat itu, saya habis dalam tempoh dua
minggu. Setiap hari, saya beruntukan beberapa jam untuk membacanya. Di
dalamnya,terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menjadi tunjang utama
sandaran, hadis sebagai nadi perincian, bait-bait syair yang
memperindahkan penerangan, kata-kata ulama sebagai perhiasan yang
mengagumkan, catatan pengalaman serta ibrah yang penuh pengajaran, dan
pelbagai perumpamaan yang mendidik hati.
Sungguh, kemudian saya mengulangi pembacaan saya untuk kali kedua. Ia sangat luar biasa.
Namun, siapakah penulisnya yang sangat hebat dan luar biasa ini? Saya
ingin berkenalan penulis dan pengarang yang sangat mengagumkan ini.
Sekilas tentang Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni
Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, penulis buku Best Seller – La Tahzan
Anda kenal Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni? Beliaulah penulis, kitab La Tahzan – Jangalah bersedih.
Dr Aidh Abdullah al-Qarni ialah seorang ulama Arab Saudi juga penulis motivasi Islam terkenal di dunia masa kini.
Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni dilahirkan pada tahun 1379H di
perkampungan al-Qarn, sebelah selatan Arab Saudi. Beliau berasal dari
keluarga Majdu’ al-Qarni. Memiliki ijazah kesarjanaan dari Fakulti
Ushuluddin Universiti Islam Imam Muhammad ibn Su’ud tahun 1403-1404H dan
sarjana dalam bidang Hadis Nabi tahun 1408H dengan tesis berjudul al-Bid’ah wa Atsaruha fi ad-Dirayah wa ar-Riwayah (Pengaruh Bid’ah terhadap ilmu Dirayah danRiwayah Hadis).
Beliau memperolehi PhD dari universiti yang sama pada tahun 1422H dengan judul tesis “Dirasah wa Tahqiq Kitab al-Mafhum ‘Ala Shahih Muslim li al-Qurthubi” (Analisis Kitab al-Mafhum ‘Ala Shahih Muslim
karya al-Qurthubi). Beliau telah menghasilkan lebih dari lapan kaset
rakaman yang memuat khutbah, kuliah, ceramah, sejumlah bait syair dan
hasil seminar-seminar kesusasteraan.
Dr Aidh Abdullah al-Qarni juga menghafal al-Quran (yang merupakan
syarat mutlak sebagai mahasiswa di Arab Saudi, pada umumnya) dan juga
hafal kitab hadis Bulughul Maram serta menguasai 5000 hadis dan
lebih dari 10000 bait syair Arab lama hingga moden. Dan, buku La Tahzan
ini adalah bukunya yang terlaris. Ia telah diterjemah kepada 29 bahasa.
MasyaAllah, semoga Allah merahmati beliau.
Saya ingin berkongsi dengan anda berkaitan buku La Tahzan ini, pernah dalam satu temuramah oleh wartawan Indonesia – beliau menceritakan bahawa buku La Tahzan terilham
ini selepas beliau dipenjarakan kerana menulis syair-syair berkaitan
politik. Akhirnya, beliau terdorong untuk menulis sesuatu yang berkaitan
rapat dengan kehidupan, kesedihan, dan ujian-ujian dunia.
100 halaman pertama buku ini, yang sarat dengan ayat-ayat Al-Quran,
hadis, syair dan pujangga ulamak adalah hasil penulisannya sewaktu
berkelana dipenjara. Kemudian apabila keluar daripada penjara,
semangatnya berkobar-kobar untuk menyiapkan perkongsian yang sangat
berharga ini.
La Tahzan, ditulis dengan penuh penelitian, pencermatan dan
ketulusan jiwa. Beliau mengambarkan bahawa hasil karya La Tahzan adalah
usaha kajian dan perkongsian yang diambil daripada 300 buah kitab dari
pelbagai bahasa. Sungguh mengujakan saya, beliau mempunyai perpustakaan
peribadi yang terkandung di dalamnya 10,000 judul kitab.
Saranan Saya
Cari, beli, semak, baca dan hayati buku ini. Terutamanya di saat-saat
anda diuji dengan musibah yang mencengkam jiwa dan membebankan diri.
InsyaAllah – di dalamnya ada pelbagai solusi yang praktikal, islamik dan
yang terpenting ia – berhasil. ( Dengan izin Allah )
La Tahzan, ia memberikan satu sinar harapan baru buat saya.
Jika ditanyakan apakah buku yang meninggalkan impak yang mendalam kepada
saya?
Pastinya, buku La Tahzan adalah jawapannya.
Dr ‘Aidh menyebutkan dalam tajuk kecil dalam kitabnya itu, Jangan bersedih – Bacalah buku
“ Membaca buku akan membukakan wawasan kalbu, menghasilkan
pelajaran dan nasihat. Membaca buku akan memberikan berbagai hikmah,
dapat melancarkan lisan dan meningkatkan kemampuan berfikir.”
Beliau menambah lagi :
“ Membaca buku adalah merupakan hiburan bagi yang menyendiri,
bisikan bagi hatinya, teman bicara bagi yang berjaga malam, kesenangan
bagi orang yang merenung dan pelita bagi yang berjaga malam.”
Nah! Telah saya kongsikan sesuatu yang sangat berbekas dan
mempengaruhi hidup saya melalui pembacaan. Kini, harapan saya – anda
juga – akan tergerak hati untuk memiliki dan menelaah sendiri buku yang
sangat bagus ini.
Semoga, anda mendapat sesuatu yang berharga dan bernilai daripadanya.
Yakin dan percayalah.
Buat Rekan- Rekanku Yang Ada Potonya Di Sini: